BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Salam. Sy ingin mohon pencerahan tentang hukum Islam faraidh yg menimpa keluarga. Ayah dan ibu bekerja bersama sehingga ibu bersara dahulu. Ayah kemudian bersara dan slps bbrapa tahun mghidapi pnyakit Alzheimer. Kemudian ayah sudah meninggal dan tinggalkan balu bersama seorang anak lelaki dan 4 org perempuan. Rumah dan kereta arwah ayah dijual sblm meninggal. Ibu masih ada anak bongsu yg masih belajar utk menanggung. Anak lelaki yg sudah berkahwin ini sblm ini lebihkan belah keluarga mentua dan tidak menjaga ibu nya malah hanya sesekali mmberi bantuan kewangan pd ibu. Faraidh datang bersama tanggungjawab tetapi anak lelaki ini hanya ingin menuntut hak nya krana dia seorang lelaki dan mengatakan dia hnya mengikut tuntutan agama. Minta pencerahan adakah dia masih boleh menuntut wang peninggalan ini dari ibu?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, anak lelaki tersebut masih mempunyai hak ke atas harta peninggalan arwah ayah, begitu juga dengan anak perempuan. Jika maksud faraid yang ingin dituntut oleh anak lelaki itu adalah daripada hasil jualan rumah dan kereta ayah, maka ia perlu diperincikan. Waris tidak boleh memfaraidkan sebelum dilunaskan segala hutang-hutang arwah, selesaikan kos urusan pengurusan jenazah, urusan badal haji (jika belum menunaikan haji), dan wasiat (jika ada). Manakala ibu pula boleh menuntut harta sepencariannya sepanjang perkahwinan dengan arwah. Selepas semuanya selesai, barulah bakinya boleh difaraidkan kepada waris iaitu datuk dan nenek (jika masih ada), ibu, anak lelaki dan anak perempuan. Pembahagiannya adalah seperti berikut : Bahagian datuk : 1/6 bahagian Bahagian nenek : 1/6 bahagian Dalilnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.” (an-Nisa’ : 11) Bahagian ibu : 1/8 bahagian Dalilnya sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.” (an-Nisaa' : 12) Bahagian anak lelaki (seorang) : 1/2 bahagian Bahagian anak perempuan (4 orang) : 2/3 masing-masing “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.” (An-Nisaa' : 11) Manakala jika ada wang persaraan arwah ayah, ia tidaklah termasuk sebagai harta yang boleh difaraidkan. Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988, telah membincangkan Ganjaran Terbitan Dan Pencen Terbitan. Muzakarah telah memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. Sebagai anak lelaki adalah menjadi kewajipan baginya sebagai mahram dan wali kepada ibu dan adik-beradik perempuannya selagi mereka belum berumahtangga. Adalah tidak wajar bagi anak lelaki yang telah berkahwin melebihkan ibu bapa mertuanya berbanding ibunya sendiri. Jika keadaan ini masih tiada penyelesaian, dicadangkan agar mendapatkan khidmat nasihat pengurusan faraid melalui Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Ting. 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Atau hubungi talian : 03-5514 3773 / 03-5514 3772 / 03-5514 3570. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 91

message user image