Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Mohon pencerahan berkenaan harta pusaka. Arwah nenek saya dikurniakan 3 anak perempuan dan 2 anak lelaki hasil perkahwinannya dengan arwah datuk. Ayah saya merupakan anak sulung lelaki. Arwah nenek saya mempunyai tanah pusaka dan tanah yang dibeli menggunakan wang simpanan semasa hayatnya. Tanah yang dibeli, dibeli bersama anak(perempuan) sulungnya atas nama anak sulungnya. Selepas arwah meninggal, ayah saya dinafikan hak kerana nama bapa kepada nenek saya yang tertulis di sijil kelahiran ayah saya sedikit tidak sama dengan adik beradiknya yang lain. (Masalah ketika mendaftar nama semasa kelahiran). Ketika itu arwah bapa ayah (datuk) saya masih hidup dan mengesahkan bahawa ayah saya adalah anaknya dengan arwah nenek. Nenek pernah berpesan kepada arwah datuk semasa hayatnya untuk menyerahkan tanah yang dibeli kepada ayah saya sekiranya nenek meninggal dunia. Makcik saya yang sulung bertegas mengatakan tanah tersebut miliknya seorang kerana tiada nama nenek di dalam geran. Perkara ini sudah berlaku lebih 10 tahun dan sehingga hari ini, ayah tidak mendapat sedikit pun bahagian daripada harta peninggalan ibunya. Baru-baru ini makcik berniat untuk menaja ayah mengerjakan umrah tetapi atas faktor kesihatan, ayah tidak dapat pergi. Kami tahu dia berniat menaja menggunakan wang hasil tanah peninggalan ibunya. Ayah saya dah berkali-kali nasihat bahawa hasil tanah arwah ibunya seeloknya dibahagi dengan adik beradik yang lain mengikut faraid sekiranya makcik tidak mahu menyerahkan bahagian arwah nenek kepada ayah saya. Kami risau sekiranya sesuatu berlaku ke atasnya akibat bersikap tidak amanah kerana kesihatan makcik kerap terganggu sekarang. Mohon pencerahan dan nasihat.
Jawapan
Urusan berkaitan pusaka hendaklah segera diselesaikan dengan baik agar tiada pihak yang teraniaya serta tidak mengambil hak waris lain dengan cara yang batil. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya)” (an-Nisa : 29) Berdasarkan kepada kenyataan puan, harta peninggalan nenek ialah tanah pusaka dan tanah yang dibeli secara berkongsi dengan anak perempuannya yang didaftarkan atas namanya. Oleh kerana nenek tiada ahli waris lain yang boleh mempusakai hartanya melainkan 5 orang anaknya, maka harta tersebut perlu dibahagikan secara faraid. Berdasarkan kiraan, 2 bahagian untuk anak lelaki dan 1 bahagian untuk anak perempuan. Bagaimanapun, kedudukan harta nenek yang dibeli secara berkongsi dengan anak perempuannya, perlu disahkan kerana tiada nama dalam daftar (geran) dan ditentukan bahagiannya sebelum ia difaraidkan. Jika perlu melalui keterangan-keterangan yang ada, boleh buat tuntutan di mahkamah. Persoalan menaja ayah untuk mengerjakan umrah itu persoalan lain yang bersifat andaian, sama ada ia merupakan pembahagian harta ataupun penajaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.