Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, Ayah mertua sy akan menjalani operation jantung utk mggantikan valve di IJN. Last week , doktor yg merawat beritahu bahawa valve yg sesuai utk digunakan ialah valve khinzir berbanding valve lembu.. Apakah hukum penggunaan valve in Dr pandangan tuan mufti.. Sekian tqvm
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya syariat amat menggalakkan umat Islam berikhtiar untuk merawat segala masalah kesihatan yang dialami. Namun mestilah dipastikan kaedah, alat atau bahan yang digunakan dalam proses merawat mematuhi hukum syarak. Kaedah yang hendak digunakan dalam proses rawatan juga mestilah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti berkaitan kesihatan. Ini juga selari dengan firman Allah SWT: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya : “Oleh itu, bertanyalah kamu semua kepada orang yang ahli (pakar di dalam bidangnya) sekiranya kamu tidak mengetahui”. (an-Nahl : 43) Oleh itu, mendapatkan pandangan doktor pakar beragama Islam adalah merupakan sebahagian dari tuntutan syarak di dalam ikhtiar mencari rawatan yang bersesuaian dengan masalah yang di alami. Menggunakan injap jantung dari khinzir sebagai rawatan pada asalnya adalah haram, namun di dalam keadaan dharurat atau situasi yang sangat diperlukan ia menjadi harus serta seseorang itu tidak berdosa melakukan perkara tersebut. Di dalam perkara ini satu kaedah fiqh berbunyi: الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات Maksudnya : “Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.” Namun, ia juga terikat dengan satu lagi kaedah fiqh berikut: الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا Maksudnya : “Dharurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja”. Oleh itu, harus menggunakan injap (valve) jantung dari khinzir di dalam situasi untuk menyelamatkan nyawa setelah mendapatkan pandangan doktor pakar muslim dengan mengambilkira tiada rawatan lain yang boleh dibuat dan penggunaannya merupakan pilihan terakhir. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.