Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz,perlu atau tak anak ganti puasa untuk ibu yang sakit. Ibu masih ada. Boleh atau tak anak yang bayarkan fidyah untuk ibu.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, anak tidak boleh menggantikan puasa ibu yang masih hidup, sama ada ibunya mampu atau tidak mampu disebabkan sakitnya. Sebagaimana Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata yang bermaksud : ''Berkata sahabat-sahabat kami dan selain mereka : ''Tidak boleh berpuasa bagi pihak orang lain yang masih hidup sama ada dia tidak berupaya ataupun berupaya untuk berpuasa tanpa khilaf ulama.'' Anak boleh membayarkan fidyah bagi pihak ibunya yang sakit. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.