BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Berkenaan hadanah. Saya berkahwin dengan isteri saya, seorang janda beranak dua. Ketika saya menikahinya, kedua anaknya masih kecil, dibawah umur 7 tahun. Bekas suami isteri saya seorang yang diuji Allah dengan kesempitan rezeki, kerosakan akhlak, dan cetek ilmu agamanya. Semoga Allah mengampunkan dosa saya dan dosa dia, semoga Allah merahmati kami dengan kefahaman agama. Beliau sendiri menyerahkan hak penjagaan anak kepada isteri saya sewaktu mereka bercerai dahulu. 1) Adakah hak penjagaan anak itu telah beralih kepada bapa kandung mereka setelah ibu mereka bernikah dengan saya? Setelah beberapa tahun bernikah dengan isteri saya, kami dikurniakan cahaya mata dan rezeki saya kini berkerja di luar negara, iaitu di Australia. Kini sudah setahun kami tinggal berjauhan. Baru baru ini isteri saya telah kehilangan perkerjaan dan tempat tinggal (kuarters). Jadi isteri saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Australia untuk hidup bersama saya disini. Tetapi ibunya (ibu mertua saya) melarang keras sehingga mencaci maki saya dan menuduh saya melarikan anaknya (isteri saya) sedangkan saya tidak pernah memaksa dan isteri saya masih lagi ada di Malaysia sekarang. Sehingga menyuruh isteri saya memfailkan cerai. Sekarang ibunya tidak mengizinkannya untuk tinggal bersama saya di Australia. 2) berdosa kah saya jika isteri saya datang tinggal bersama saya di Australia? 3) Setelah sekian lama t idak memberi nafkah dan menjenguk anak2, kini belas suaminya muncul dan melarangnya membawa anak2 untuk berhijrah. Adakah berdosa kami membawa anak2 berhijrah? Mohon pencerahan berserta penjelasan, kalau noleh dgn dalilnya. In shaa Allah inilah kesempatan untuk saya memdapatkan ilmu baru.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Oleh kerana hak penjagaan anak telah diserahkan kepada pihak ibu, maka hak penjagaan anak tidak beralih kepada bapa kandung walaupun ibunya bernikah semula dengan lelaki lain, dengan syarat kebajikan anak tersebut terjaga dengan baik, dan bapa tirinya bertanggungjawab dan menjaga anak-anak itu dengan baik sebagaimana yang digariskan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, menerusi bab hadhanah dan penjagaan kanak-kanak. Rujukan link : http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/ca9cc9e2f91e354748257115000d69dd?OpenDocument 2. Tuan tidak berdosa jika isteri datang dan tinggal disana (Australia) kerana ia merupakan tanggungjawab suami memberi nafkah dan melindungi isteri dan anak-anak. Malah menjadi kewajipan isteri untuk taat kepada suaminya melebihi ketaatan pada ibu bapanya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (an – Nisa’ : 34) Bahkan, mereka yang mengganggu, menghasut dengan apa cara sekalipun terhadap rumahtangga seseorang, itulah yang berdosa dan boleh diambil tindakan. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; ليس منا من خبب امرأة على زوجها او عبدا على سيده Maksudnya : “Bukan dikalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya, atau hamba dengan tuannya”. (Riwayat Abu Daud) Tindakan undang-undang tersebut adalah berdasarkan kepada Seksyen 32,33,34 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Rujukan link : http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/7b9650d84cbe7ea048257057000254e8?OpenDocument 3. Tuan dan isteri juga tidak berdosa untuk membawa anak-anak berhijrah. Namun, bekas suami kepada isteri tuan tetap ada hak terhadap anak kandungnya. Berbincanglah dengan cara baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 162

message user image