Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Rewards of the facts of in the month of Rajab. Imam musa Al kadhim says, One who observe one fast in Rajab, hell would go away from him to a distance of a year and paradise would be made obligatory on one who fasts for 3 days. Saya nak tanya benarkah hadis ini? Dan 3 hari yang dinyatakan adalah 3 hari berturut2 atau mana2 3 hari dalam bulan rejab?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hadis yang puan nyatakan itu tidak dapat dipastikan perawi hadithnya. Walau bagaimanapun, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkenaan sunat berpuasa pada bulan-bulan haram iaitu bulan Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab, bahawa Nabi SAW bersabda: أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram”. (Riwayat Muslim) Justeru, puan boleh sahaja berpuasa sunat dalam bulan Rajab tanpa dikhususkan bilangan harinya seperti 3 hari, 7 hari dan sebagainya. Semua perkara baik yang kita lakukan akan mendapat ganjaran dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.” (Al-Ahzaab : 31) Atau boleh juga berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis pada bulan Rajab sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya: كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ Maksudnya : “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat al-Tirmizi) Selain itu, boleh berpuasa sunat pada 3 hari setiap bulan iaitu pada الأيام الأبيض (hari-hari putih) hari ke 13, ke 14 dan ke 15 setiap bulan Islam. Ini berdasarkan hadith, yang diriwayatkan daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ Maksudnya : “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda : Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (Riwayat Abu Daud) Adapun, dikecualikan puasa pada 13 Zulhijjah kerana haram berpuasa pada hari tersebut, ia termasuk dalam hari-hari tasriq. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.