Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum, saya ingin bertanya jika seorang lelaki meninggal tetapi tiada berharta kecuali hutang siapakah yang dipertanggungjawapkan untuk menyelesaikannya? jika arwah berharta , harta akan dibahagikan secara farait tetapi hutang?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jika seorang lelaki meninggal dunia tanpa meninggalkan harta, maka hutang-hutangnya hendaklah dilunaskan oleh waris lelaki tersebut. Bermakna jika berharta, waris-warislah yang akan mewarisinya, maka begitu juga dengan hutang-hutangnya. Justeru, urusan hutang-piutang ini hendaklah segera dilunaskan jika berkemampuan. Jika tidak tertanggung hutang tersebut ke atas dirinya (zimmahnya). Semoga kita semua dapat meringankan tanggungan hutang si mati, kerana beban hutang ini tergantung selagi tidak dilunaskan. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdillah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: يُغْفَرُ للشهيد كل ذنب إلا الدَّين Maksudnya : “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.