Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti, Saya Azlinah Binti Mohd Yusof. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih diatas kesudian pihak tuan mufti memberi respon dan huraian terhadap persoalan yang saya ajukan. Saya ingin mengetahui apakah hukum terhadap perkhidmatan yang saya berikan ini dari sudut pandangan Islam. 1. Saya berhajat ingin membuka SPA kecantikan dimana perkhidamatan yang akan saya tawarkan merupakan pemasangan bulu mata palsu (EYELASH EXTENSIONS). Saya sedia maklum dan telah membaca beberapa halaman yang sah dan mengetahui hukum sambung bulu mata samada si pemasang atau yang dipasang adalah HARAM. Dalam kes saya , saya adalah si pemasang dan saya hanya ingin memberikan tawaran eyelash extension ini hanya untuk orang bukan islam, apa pandangan mufti akan hal ini. Saya bercadang saya akan meletakkan memo dan syarat2 khas untuk pelanggan saya bahawa perkhidmatan saya untuk pemasangan bulu mata palsu hanya untuk org bukan islam sahaja. 2. Perkhidmatan lain yang saya tawarkan adalah merapikan bulu kening dengan menggunakan inai/henna, saya juga sedia maklum akan hal dimana haram untuk wanita mencukur kening mengubah ciptaan ALLAH SWT. Namun saya ingin meminta pandangan sekiranya saya menawarkan perkhidmatan untuk merapikan bulu kening tanpa mencukur bulu kening dengan hanya menggunakan inai (teknik yg saya pelajari) adakah haram perkhidmatan yang saya lakukan. Tujuan dan niat saya merapikan kening menggunakan teknik inai/henna agar penampilan kemas dan inai tahan lama dan telus air sedikit sebanyak menjimatkan masa pada kami kaum wanita. sekian sahaja persoalan saya berkenaan hukum hakam terhadap perancangan perkhidmatan yg saya ingin lakukan.
Jawapan
1. Melakukan perkhidmatan pemasangan bulu mata palsu tersebut adalah haram dan dilarang walaupun kepada pelanggan bukan Islam kerana membantu perkara yang ada unsur penipuan (تدليس). Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (al-Maidah : 2) 2. Hukum merapikan bulu kening agar kelihatan lebih kemas dan rapi menggunakan kaedah inai/henna tanpa memotong atau mencukurnya adalah harus, dengan syarat bahannya adalah suci dan bukan warna hitam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.