BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamulaikum.. Saya ingin bertanya tentang nazar.. Si A telah bernazar menyembelih seekor lembu di sebuah madrasah A.. Kmudian menukar niat ke madrasah B.Hatinya berbolak balik A @ B... Mase ni tengah jahil..jd bagaimana nak pilih tempat tersebut...dan boleh X kita ganti sembelihan lembu dgn duit


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya (wajib). Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, sabda Nabi SAW : من نذر أن يطيع الله فليطعه ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه Maksudnya : “Sesiapa yang bernazar mentaati Allah hendaklah dia mentaatinya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah janganlah dia melakukannya” (Riwayat al-Bukhari) Wajib menyembelih seekor lembu di Madrasah A, kerana ini adalah niat yang pertama. Nazar tidak boleh diganti dengan perkara lain dan mesti dilakukan apa yang telah diniatkan. Jika tidak mampu dan mahu membatalkan nazar, dituntut ke atasnya membayar kaffarah sumpah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda : من نذر نذرا لم يمسه فكفارته كفارة يمين Maksudnya : “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kaffarahnya adalah kaffarah sumpah” (Riwayat Ibnu Majah) Justeru, wajib pada dirinya menunaikan satu daripada tiga perkara berikut untuk menggantikan kaffarah sumpah iaitu:  Memberi makan kepada 10 orang miskin.  Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.  Memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika tiga perkara itu tidak dapat ditunaikan, maka perlu berpuasa selama tiga hari. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (Al-Maaidah : 89) Disamping itu, dinasihatkan supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Ini kerana terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda : لا تنذروا، فإن النذر لا يغنى من القدر شيئا وإنما يستخرج به من البخيل Maksudnya : “Janganlah kamu bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah takdir daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Ia hanyalah mengeluarkan sesuatu dari orang yang bakhil” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 489

message user image