Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum....saya ingin bertanya mewakili ibu saya tentang hukum bernazar....ibu saya pernah bernazar pada 30 tahun lepas untuk menyembelih seekor kambing sekiranya pendapatan keluarga mendapat RM 1000 ke atas pada tiap2 bulan....tp pendapatan ibu saya pd waktu tu tidak dpt sebanyak itu....tetapi masa sekarang pendapatan keluarga kami melebihi RM 1000....adakah nazar itu masih berjalan atau digugurkan..?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, nazar itu merupakan sumpah dan janji atas nama Allah yang wajib ditunaikan apabila hajatnya dimakbulkan oleh Allah SWT. Jika nazar ibu pada masa dulu tidak ditetapkan tempohnya, maka nazar itu masih ada dan tidak gugur. Justeru, hendaklah ditunaikan walaupun telah berlaku 30 tahun lepas dan masih ingat, bermula daripada cukup syarat yang dinyatakan iaitu melebihi RM1000. Berkenaan nazar ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud ; “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (al-Maaidah : 89) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.