Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Saya nak bertanya beberapa soalan kerana sy merasa keliru. Diharap pihak yg berhormat dapat membantu saya. Soalan sprti berikut : 1. Apakah hukum membaca alfatihah bagi seorang wanita menunaikan waktu solat sendirian & ketika berjemaah,hukum baca fatihah adalah keluar suara ataupun tidak? Bagaimana pula dengan rakaat ke 3&4? 2. Ketika solat sendirian, tetapi ada anggota keluarga didalam rumah, apakah hukum seorang wanita solat bersuara kuat setiap bacaan dari niat ke salam, sampai didengari oleh anggota keluarga? Terima kasih dahulu sy ucapkan andai kata pihak berhormat membaca & memberi penerangan. Assalamualaikum wbt.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, 1. Hukum membaca surah al-Fatihah bagi wanita dalam solat adalah wajib kerana ia merupakan rukun solat, sama ada ketika menunaikan solat secara sendirian atau berjemaah. Bacaan al-fatihah wajib dibaca (keluar suara) dengan kadar suara yang hanya didengari oleh telingannya sendiri. Tidak terlalu kuat dan tidak boleh dibaca dalam hati. Begitu juga wajib dibaca pada rakaat ke 3 dan ke 4. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW: لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ Maksudnya : “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.” (Riwayat al-Bukhari) 2. Hukumnya adalah makruh, kerana mengeraskan (kuat) suara ketika solat boleh mengganggu orang lain yang berada disekelilingnya. Memadailah membacanya dengan suara yang hanya didengar oleh telinganya sendiri melainkan jika dia kurang pendengaran atau keadaan yang sibuk dan bising yang menggangu bacaannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.