Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikan Mufti dan Jawatakuasa Fatwa, disini ana mempunyai 3 soalan PENTING, mengharapkan jawapan segera: 1. Apakah hukum mengkacuk dan membiakan haiwan dengan tujuan menjadikan bakanya lebih unik. Tetapi mengurangkan bentuk semula jadi haiwan tersebut. Misalnya Kucing Munchkin adalah baka kucing baru terjadi akibat kacukan jenis kucing tertentu. Masalah etika disini adalah kucing munckin kini mempunyai kaki yang lebih pendek dan boleh mengakibatkan masalah saraf tunjang utamanya pada masa jangka panjang. Sudah tentu ini menyeksa haiwan tersebut, walaupun manusia tidak merasakan keperitannya. Apakah qawaid fiqqiyyah khusus untuk isu ini? 2. Apakah hukum memakan, membakar, merebus haiwan hidup-hidup untuk dimakan? Adakah Islam tidak melarangnya. Memakan haiwan hidup-hidup tidak dimatikan dahulu tidak berperikemanusian, kerana haiwan juga mempunyai perasaan.? 3. Adakah sebarang bentuk qawaid fiqqiyah boleh digunakan dlm menghakimi tindakan seseorang yang menyiksa perasaan haiwan bukan secara fizikal tetapi secara dalaman (innate feelings).? Terima kasih Mufti. Harap sangat dapat menjawab kemusykilan saya ini. Moga Allah merahmati.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara; 1. Hukum asal mengacuk haiwan sesama jenis seperti kucing dengan kucing, lembu dengan lembu adalah harus. Walau bagaimanapun, jika perbuatan tersebut diketahui dan diyakini membawa kemudharatan kepada haiwan yang dikacukkan untuk jangka pendek atau panjang, maka hendaklah dielakkan. Kaedah yang berkaitan dengan keadaan ini ialah : لا ضرر ولا ضرار Maksudnya : Dilarang menimbulkan kemudharatan dan dilarang memudharatkan yang lain 2. Hukumnya adalah harus, bagi haiwan yang tiada keperluan untuk disembelih seperti ketam, ikan, udang dan seumpamanya. Bagi haiwan yang perlu disembelih, hendaklah disembelih dengan baik, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA bahawa Nabi SAW bersabda : إن الله كتب الإحسان على كل شيء فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan ihsan terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh, laksanakanlah dengan cara yang baik, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik, dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya serta hendaklah dia merehatkan sembelihannya“. (Riwayat Muslim) 3. Seseorang yang menganiaya haiwan sama ada secara fizikal atau emosi (dalaman), hukumnya adalah berdosa. Walau bagaimanapun, di Malaysia telah diwujudkan undang-undang Akta Kebajikan Haiwan 2015 seperti link berikut : http://www.mvc.gov.my/doc_downloads/AnimalWelfareAct_AKTA%20772_BM_akta%20772-BM.pdf والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.