BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamulaikum tuan/puan. Saya ada terbaca beberapa artikel tentang kifarah dari Allah kepada mereka yang membuat dosa besar contohnya zina. Antara kifarahnya ialah Allah menarik seri wajah sentiasa dihimpit dengan bebanan dan tekanan. Hidup tak tenteram.Soalan saya andaikata seseorang itu telah bertaubat adakah Allah akan menerima taubat tersebut.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, Allah SWT mempunyai sifat Maha Pengampun dan Penyayang. Walau bagaimanapun, taubat yang dilakukan itu mestilah cukup syaratnya, untuk diterima oleh Allah SWT. Ada dinyatakan di dalam kitab Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani, syarat taubat itu 3 perkara; i Meninggalkan maksiat. ii Menyesal atas perbuatannya itu. iii Bercita-cita bahawa tiada kembali kepada maksiat itu selama-lamanya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali'Imran :135) Taubat yang dilakukan itu mestilah taubat nasuha iaitu taubat yang sebenar-benarnya dan tidak kembali kepada perbuatan zina. Disamping itu patuhlah perintah Allah dan jauhi laranganNya apatah lagi larangan mendekati zina. Ini telah jelas dinyatakan dalam al-Quran, firman Allah SWT ; وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا Maksudnya : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Al-Israa' : 32) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 177

message user image