Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Boleh kah sy solat duduk selepas prosedur iui dan sepanjang proses kehamilan kerana menjaga rahim supaya tidak bnyk gerakan menunduk/bngun duduk?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, secara umumnya mengandung tidaklah menghalang seseorang untuk menunaikan solat seperti biasa kecuali jika mempunyai sebab tertentu atau atas nasihat doktor. Maka, diberi keringanan dengan melakukan perbuatan solat seperti rukuk dan sujud sekadar kemampuannya sahaja, termasuklah solat secara duduk. Melakukan solat secara duduk dikerusi atau dilantai bagi mengurangkan pergerakan menunduk atau bangun ketika solat. Hendaklah dimulakan dengan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri kemudian barulah duduk. Ini kerana rukun solat yang dalam keadaan berdiri, puan wajib berdiri selagi mampu dan kelonggaran hanya pada rukun yang tidak mampu dilaksanakan sahaja. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda: صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.