Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan. Saya sudah bersara kjaan dan mendapat duit akaun kwsp dalam akaun dua sebanyak Rm8000. Namun duit tersebut telah habis dibelanjakan untuk membayar hutang, bil api, bil air dll. Kemudian setelah sethn baru saya terbaca info bahawa duit kwsp tsbt bercampur halal dan haram. Jadi apa yg perlu saya lakukan sekarang selain drp bertaubat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) kali ke-4/2015 yang bersidang pada 19 Oktober 2015 bersamaan 6 Muharram 1437H memutuskan bahawa: i. KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke akaun KWSP-Islamik; ii. Pencarum yang beragama Islam wajib mencarum dalam akaun KWSP-Islamik; dan iii. Pihak KWSP hendaklah mengamalkan pelaburan yang patuh syariah. Berdasarkan keterangan fatwa di atas, sekiranya puan telah bertukar ke akaun KWSP-Islamik selepas fatwa di atas dikeluarkan, maka harus menggunakan duit simpanan tersebut. Jika selepas fatwa ini dikeluarkan dan puan tidak menukar ke akaun KWSP-Islamik dan telah habis digunakan, selain bertaubat maka puan wajib membuat kiraan dan amaun pembersihan perlu diserahkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri kerana ia adalah wang tidak patuh syariah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.