Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang puasa nazar. Saya pernah terbaca sekiranya puasa nazar tidak perlu sehingga niat 3 hari berturut- turut. Soalan pertama sekiranya seseorang itu tidak tahu tentang perkara tersebut dan dia telah pun berniat untuk berpuasa 3 hari berturut - turut, wajibkah dia puasa terus 3 haris berturut- turut? Soalan kedua sekiranya seseorang itu telah berpuasa nazar pada hari pertama tapi hari kedua dia jatuh sakit ATAU keluar air mani dengan sengaja atau tidak sengaja patutkah seseorang itu teruskan berpuasa nazar ganti hari kedua sehingga hari ketiga atau dia harus puasa nazar 3 hari berturut- turut sekali lagi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, nazar itu merupakan sumpah dan janji atas nama Allah yang wajib ditunaikan apabila hajatnya dimakbulkan oleh Allah SWT. Niat untuk berpuasa nazar itu bergantung kepada niat masing-masing. 1. Jika dia bernazar hendak puasa 3 hari berturut-turut, maka dia wajib buat berturut-turut sepertimana yang dia nazarkan. Jika tidak, dia dikira melanggar janji dan dikenakan kaffarah nazar, iaitu sama seperti kaffarah sumpah. sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (al-Maaidah : 89) 2. Jika begitu keadaannya dia kena puasa 3 hari berturut-turut pada hari yang lain kerana jika dia sakit atau keluar air mani pada hari kedua, ia tidaklah dikira sebagai berturut-turut. Kena ikut niat asal nazarnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.