Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah berdosa solat dengan memakai telekung berjenama tiruan? Telekung yang dibeli di negara jiran mengikut design dan melabelkan dengan jenama asal.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, solat menggunakan telekung jenama tiruan tidak berdosa dengan syarat telekung tersebut suci dan tidak jarang sehingga kelihatan aurat, maka sah solatnya. Yang berdosa adalah mereka yang terlibat dengan urusniaga tersebut, kerana sedia tahu bahawa produk tersebut adalah tiruan. Tetapi, jika ada kebenaran dan keizinan daripada pemilik jenama asal dan tidak menyalahi undang-undang negara, hukumnya adalah harus. Namun, jika sebaliknya, hukumnya adalah haram kerana menyalahi etika dan peraturan perniagaan, kerana harta intelek telah diiktiraf dalam Islam sebagai harta persendirian. Ia diharamkan kerana makan harta dengan jalan batil, serta menjejaskan pemilik sebenar jenama asal. Adapun, jual belinya sah kerana cukup rukun dan syaratnya. Walau bagaimanapun, menjalankan perniagaan barangan tiruan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.