Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum WBT. Pertama sekali saya ingin berterima kasih sekiranya pihak tuan sudi membaca dan menjawab persoalan saya ini. Situasi saya, saya telah bertengkar dengan isteri saya, lalu saya ada terlafaz "kalau susah sangat kita cerai je". Persoalan saya adakah lafaz tersebut menjatuhkan talak, sedangkan ada perkataan "kalau" di situ. Adakah ia termasuk di dalam lafaz cerai taklik? Sekali lagi saya ingin berterima kasih sekiranya pihak tuan sudi menjawab persoalan saya, kerana saya tidak mempunyai rujukan lain. terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan tuan, perkataan “Kalau susah sangat kita cerai je”, bukanlah lafaz talak dan tidak menyebabkan talak jatuh. Ia juga bukanlah lafaz taklik. Justeru adalah dinasihatkan agar suami tidak mudah menggunakan perkataan cerai apabila berlakunya pertengkaran bersama isteri untuk mengelakkan tersilap. Ini kerana perkara halal tetapi paling dibenci oleh Allah SWT adalah talak. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أبغض الحلال إلى الله الطلاق Maksudnya : “Sebenci-benci perkara yang halal disisi Allah ialah talak” (Riwayat Ibnu Majah) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.