Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Apakah hukum saya berniat tidak mahu berkahwin kerana saya tahu saya tidak mampu untuk bersabar dengan segala ujian bila berumah tangga. Dan saya juga takut jika saya akan melebihkan suami dan mengabaikan emak saya sedangkan emak saya seorang balu dan kami hanya dua beradik perempuan. Saya sangat takut perkahwinan akan membuatkan saya stress dan mudah marah terutama kepada suami dan emak saya kerana saya seorang yang panas baran. Apakah boleh untuk saya berdoa begini?: "Ya Allah sekiranya dengan aku berkahwin akan menjauhkan aku dari Mu dan dari keluarga ku, maka aku lebih rela bujang begini". apakah saya tergolong dalam golongan umat yang tidak diakui nabi? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan saudari, adalah tidak harus berniat untuk tidak berkahwin kerana perkahwinan itu merupakan sunnah Nabi SAW. Apa yang saudari nyatakan itu hanya sekadar pandangan negatif sahaja. Terdapat kisah tentang tiga orang pemuda yang bertemu Nabi SAW dan berkata seorang demi seorang bahawa beliau akan solat malam tanpa tidur, akan berpuasa tanpa berbuka dan tidak akan menikahi wanita. Lalu Nabi SAW menegur tindakan pemuda tersebut sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda: أنا أصوم وأفطر وأقوم وأنام وأتزوج النساء فمن رغب سنتي فليس مني Maksudnya : “Aku solat malam tapi juga tidur aku puasa tapi aku juga berbuka dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku” (Riwayat al-Bukhari) Justeru, adalah tidak wajar bagi saudari menolak hukum perkahwinan disebabkan ketakutan dan kerisauan yang difikirkan. Sebaiknya berdoalah agar Allah SWT mengurniakan pasangan yang soleh dan baik buat saudari, yang boleh membimbing, sabar, bertanggungjawab dan sebagainya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” (an-Nur : 32) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.