Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ada uztaz yang mengatakan orang yang memberi hutang dan hutang tidak dijelaskan olih siberhutang, si pemberi hutang akan tunggu di pintu syurga menunggu si penghutang minta halal, sebelum masuk syurga. Adakah hadis yg menyatakn demikian? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tentang hadis yang dinyatakan tidak dapat dipastikan matan dan perawinya. Yang penting, hutang itu wajib dilunaskan selagi hidup dan berkemampuan sebagaimana perjanjiannya dengan pihak pemberi hutang. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (al-Ma’idah : 1) Justeru, urusan hutang-piutang ini hendaklah segera dilunaskan. Hendak minta halal sekalipun, urusan tersebut hendaklah dilakukan sebelum meninggal dunia agar tidak tergantung jiwanya di akhirat, bukan di pintu syurga. Lagipun kita tidak tahu bagaimana gambaran keadaan di alam sana kelak. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ; “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”. (Riwayat at-Tirmizi) Jika telah meninggal dunia, warisnyalah yang perlu melunaskannya menggunakan harta peninggalan si mati agar beban hutang tidak tergantung lagi. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdillah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: يُغْفَرُ للشهيد كل ذنب إلا الدَّين Maksudnya : “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.