Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Tuan, saya adalah seorang isteri yang bekerja dan tidak menpunyai anak. Suami saya juga bekerja dengan gaji RM2000 tetapi tidak memberikan nafkah perbelanjaan daour yang cukup. Selalunya dia hanya akan beri 20-30 setiap minggu. walaupun gaji kasarnya hampir 5,000.00. Patutkah dia tidak memberi belanja dapur kerana katanya pendapatannya selalu tidak cukup tetapi dia membayar zakat pendapatan setiap bulan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan puan, suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah yang sepatutnya kepada isteri dan anak-anak termasuk makan, minum, barang keperluan rumah, pakaian dan sebagainya. Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya” (Riwayat Abu Daud) Pemberian nafkah juga adalah berdasarkan kepada kemampuan suami. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaaq : 7) Puan dinasihatkan berbincang bersama suami secara baik dan berhikmah. Insya-Allah permasalahan ini dapat diselesaikan secara bersama dengan mengamalkan sikap bertolak ansur dan tolong-menolong antara satu sama lain. Puan juga boleh membuat aduan dan sesi khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan. Semoga puan sekeluarga dikurniakan rumahtangga yang bahagia dan berkekalan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.