Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya nak tanya mengenai hukum jika buang kucing kesayangan yang dah mati ke tempat sampah? Saya duduk kawasan flat dan tak ada tanah untuk ditanam, jadi saya tak ada pilihan selain untuk buang bangkai kucing tu meskipun tak sampai hati.. Apakah hukum tidak tanam dan buang bangkai kucing tu? Adakah saya berdosa?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, pada dasarnya tiada hukum khusus dalam menguruskan bangkai haiwan kerana tidak terdapat nas yang menyatakan atau menerangkan tentang perkara itu. Oleh yang demikian, ianya bersifat harus sama ada ingin menanam atau membiarkan begitu sahaja. Tetapi sekiranya dibiarkan akan memberi mudharat kepada orang ramai disebabkan baunya yang busuk dan menyebabkan penyakit berjangkit, maka hukumnya wajib ditanam berdasarkan kaedah fiqah (لاضرر ولاضرا). Maksudnya : Tiada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan. Namun, secara dasarnya hukum menanam bangkai haiwan itu adalah digalakkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.