BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbt. Tuan yang mulia,maaf mengganggu.Di sini saya ada beberapa soalan yang ingin diajukan. 1- Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W : Diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, ia berkata, "saya merasa letih dan payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya Mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan Mazi yang terkena pada pakaian saya? Beliau menjawab, “cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang terkena itu. (Hadis riwayat Tirmizi, No.115) Adakah memadai membasuh pakaian yang terdapat air mazi dengan sekali siram sahaja?Bagaimana pula sekiranya selepas disiram kesan air mazi tersebut masih ada?Kerana kebiasaannya air mazi dan kesannya agak sukar untuk dihilangkan dengan hanya siraman. 2- Seterusnya,bagaimana keadaan sesuatu yang suci bercampur dengan sesuatu yang najis.Misalannya: -air mani bercampur dengan air mazi. -juga air mani yang keluar kena kepada pakaian yang bernajis. Adakah kesan air mani tersebut masih dikira najis dan perlu dihilangkan jika setelah dicuci dan dikeringkan pakaian tersebut masih kelihatan jelas kesan air mani tersebut? -Juga bagaimana pula keadaan jika seseorang menyangka kesan najis pada pakaian telah hilang setelah dicuci namun apabila setelah selesai pakaian tersebut dijemur ternyata kesan najis tersebut masih ada. 3- Berdasarkan petikan dibawah: Najis yang kering tidak memindahkan sifatnya kepada sesuatu yang kering, kerana najis hanya berpindah ketika bersifat lembap yang sederhana. Mohon pencerahan tuan yang mulia mengenai apakah yang dimaksudkan "berpindah ketika bersifat lembap yang sederhana". 4- Tuan yang mulia,saya juga mempunyai kemusykilan berkaitan kuah dan gulai ayam atau daging kerana saya pernah dengar kuah dan gulai ayam atau daging jika terkena pada pakaian,maka pakaian tersebut tidak boleh dibawa solat dan perlu dibasuh terlebih dahulu kawasan pakaian yang terkena kuah atau gulai tersebut.Juga bagaimana pula keadaan jika apabila keluar darah ketika menggoreng ayam ataupun merebus daging (setelah dicuci dan dibersihkan),adakah jika ia terkena pada pakaian,maka tidak boleh dibawa solat? Mohon budi baik tuan yang mulia untuk menjelaskan kemusykilan yang dihadapi dan berharap agar maklumat diri saya dirahsiakan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara; 1. Cara membersihkan pakaian yang didapati bermazi adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, ia berkata : كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏"‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ Maksudnya: "Saya merasa letih dan payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya Mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “Cukuplah engkau dengan berwudhuk”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan Mazi yang terkena pada pakaian saya? Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang terkena itu. (Riwayat al-Tirmizi) 2. Dalam keadaan ini, sama ada pakaian itu bermazi atau bermani basuh sahajalah sebagaimana kaedah basuhan yang dijelaskan di atas. Bagi pakaian yang bermani, mani bukanlah najis. Tidak mengapa jika terdapat kesan basuhannya, ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada 'Amar Ibnu Maimun RA., katanya yang bermaksud : "Aku bertanya kepada Sulaiman bin Yasar perihal mani apabila mengenai pakaian seseorang; Apakah cukup dengan membersihkan yang terkena mani itu saja, ataukah harus mencuci kain itu seluruhnya?" Jawabnya, "Aisyah pernah mengkhabarkan kepadaku, bahawa Rasulullah SAW hanya membersihkan bahagian yang kena mani itu sahaja; kemudian beliau pergi solat dengan memakai kain itu. Aku memang melihat bekas cucian di kain itu." (Riwayat Muslim) 3. Maksudnya, yang memang belum benar-benar kering. Jika kering dengan kering maka tidak najis. Tetapi jika salah satu lembab/ basah maka najis itu berpindah. 4. Sebaik-baik pakaian-pakaian yang dipakai untuk mendirikan solat hendaklah pakaian yang bersih. Bersih dari sebarang najis dan kekotoran (darah ayam, kuah makanan dan lain-lain). Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)”. (al-A'raaf : 31) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 1421

message user image