Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam , Saya nak tanya soalan bekaitan tentang apakah hukum bagi masalah saya ini . "Sekarang saya tinggal di rumah arwah bapa saya yang meninggal pada setahun yang lalu , saya tinggal bersama adik beradik yang lain dan ibu saya. Saya mendapat tahu tanah rumah ini masih bernama arwah tokwan saya (bapa arwah bapa saya) yang belum di faraid lagi , apakah hukum saya dan keluarga saya tinggal di rumah ini? Bolehkah kami tinggal di sini sehingga selesai kes faraid ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam Islam pembahagian harta pusaka adalah sangat dituntut segera diselesaikan berkaitan dengan hak ahli waris. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (an-Nisa’ : 11) Daripada Ibnu ‘Abbas RA berkata, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya." (Riwayat al-Bukhari) Kesimpulannya, segerakan urusan faraid kerana ia akan memberi kesan kepada waris yang berhak. Adapun puan perlu mendapatkan kebenaran dari semua waris yang terlibat untuk menduduki rumah tersebut sementara proses mengesahkan faraid ini selesai. Jika telah diselidiki arwah bapa adalah waris yang berhak kepada harta arwah tokwan, pihak puan seterusnya perlu memfaraidkan rumah dan tanah itu dalam kalangan adik-beradik puan dan ibu kerana arwah bapa telah meninggal dunia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.