Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya pernah mempunyai seseorang nenek dan telah meninggal hampir setahun yang lepas. Arwah seorang yang tersangat tegas dan saya selalu menangis semasa dalam jagaannya masa kecil dulu. Sebelum arwah meninggal, beliau sering terjatuh dan terhantuk dinding sehingga berdarah kepala dan kebingungan untuk sementara dan mula kurang bercakap sehingga akhirnya terlantar atas katil selama 2 tahun setengah. Kini saya berhadapan kerenah ibu saya yang masih lagi berkata buruk tentang nenek saya seperti rohnya yang jahat masih mengganggunya seperti ketika masih hidup yang arwah suka menderanya dengan kata-kata yang teruk dan menghina, perbuatan-perbuatannya yang tidak elok dsb. Juga, ibu saya sering kata seperti 'janganlah apa yang sudah menimpa nenek jadi kat kita'. Saya telah menegurnya banyak kali dosa mengumpat orang yang sudah meninggal sama seperti orang masih hidup. Tapi, ibu saya akan kata tak apa kerana mengenangkan dan ambil pengajaran dan membandingkan dengan kisah Rasulullah. Ibu saya juga kata yang dia memang sangat bencikan nenek saya dan akan terus bercakap tentang nenek saya. Adakala ibu saya menangis kerana teringatkan nenek saya, memasak ikut cara nenek saya dan yang seumpamanya tapi masih mahu cakap yang tidak elok tentang arwah. Soalan saya adalah: 1. Adakah benar roh orang yang telah tiada boleh bawa mudharat kepada ahli keluarga yang masih hidup? 2. Bolehkah kita label roh orang seperti arwah sebagai jahat? 3. Adakah saya ditegah untuk ziarah ke kubur arwah nenek saya ini kerana mengingatkan layanan beliau kepada saya dan ibu saya? 4. Apakah hukum secara terperinci bercakap tentang orang yang sudah meninggal baik perkara yang baik atau buruk? 5. Masihkah terdapat apa-apa kaitan roh manusia di alam barzakh dengan roh orang di dunia? 6. Adakah saya dikira mengumpat kerana tanya tentang masalah berkaitan orang?
Jawapan
1. Roh orang yang telah meninggal tiada kaitan dengan ahli keluarga yang masih hidup. Terputus hubungan orang yang telah meninggal dunia dengan yang masih hidup kecuali 3 perkara. Hadith Nabi SAW yang bermaksud : “Apabila mati anak Adam. Maka terputuslah seluruh amalnya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim) 2. Kita sebagai seorang hamba tidak layak untuk menghukum atau menentukan roh orang yang meninggal itu sebagai jahat Segalanya adalah di bawah ketentuan dan hanya Allah SWT sahaja yang berhak untuk menilai setiap hambaNya. Sebagai seorang manusia dan hamba Allah yang masih hidup sewajarnya kita sentiasa mendoakan agar rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa-dosanya. 3. Saudari adalah waris kepada arwah nenek yang telah meninggal dunia sewajarnya hendaklah melupakan segala salah silap yang pernah dilakukan terhadap saudari dan ibu semasa hayatnya. Perbanyakkanlah doa dan mohon keampunan daripada Allah SWT ke atas arwah nenek. Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya. Tiada tegahan untuk saudari menziarahi kubur nenek dan berdoa untuknya. 4. Jauhkan dan elakkan diri daripa memperkatakan sesuatu yang buruk terhadap orang yang telah meninggal dunia. Lupakanlah segala perkara-perkara buruk yang mungkin ada. Bercakaplah berkaitan perkara-perkara kebaikan sahaja tentang dirinya. Mudah-mudah Allah SWT merahmati kehidupan kita semua. In shaa allah. 5. Hakikat kejadian roh itu tidak dapat digambarkan oleh akal manusia, hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahuinya. Roh orang yang telah meninggal berada di suatu alam yang dinamakan alam barzakh. Manusia tidak dapat berhubung dengan roh orang yang telah meninggal. Sekiranya terdapat seseorang yang mengatakan dapat berhubung dengan roh orang yang telah meninggal ia adalah suatu perkaya yang sesat. Firman Allah SWT dalam surah al –Isra’ : 85 yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu (Nabi Muhammad SAW) tentang roh. KatakanRoh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. 6. Ia akan dikira sebagai mengumpat sekiranya bercerita atau bertanya berkaitan perkara-perkara keburukan orang lain. Begitu juga apabila memperkatakan sesuatu yang apabila diketahui atau didengari oleh empunya diri tentang perkara yang diperkatakan itu boleh menimbulkan kemarahannya. Sebaik-baikya elakkan diri daripada memperkatakan sesuatu mengenai orang lain. Bagaimanapun apabila bertanya bagi tujuan untuk membantunya atau bagi urusan kebaikan atau kebajikan adalah dibenarkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.