Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. Adik saya baru bernikah dan berpindah masuk tinggal di rumah bersama saya. Suaminya bekerja mengikut kontrak, jika tiada panggilan dia duduk dirumah manakala saya seorang peniaga online dari rumah. Setiap hari adik saya akan keluar bekerja jam 6.30 pagi sehingga 6 petang. Saya ingin bertanya, bolehkah saya tinggal berdua bersama adik ipar lelaki di dalam satu rumah dan berlainan bilik. Jika sepanjang ketiadaan adik, saya hanya duduk di dalam bilik sahaja. Mohon jasa baik ustaz/ustazah. Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tersebut, apabila saudari dan adik ipar lelaki duduk di dalam satu rumah walaupun berlainan bilik, hukumnya adalah haram kerana bukan mahram dan boleh dikira berkhalwat sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu : (1) Mana-mana:- (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.