Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum. saya ingin bertanya soalan akidah yang lama saya pendam dan saya tak tenang selagi tak terjawab. saya ragu - ragu samada islam adalah agama yang benar atau kristian adalah agama yang benar disisi tuhan. kawan2 saya yang beragama kristian kerap berdoa dan doa mereka makbul dan menjadi kenyataan. manakala saya berdoa juga untuk perkara yang sama, sekian lama (lebih dahulu dari mereka) tetapi masih belum dapat jawapan. padahal saya memohon perkara yang sama. saya solat hajat disepertiga malam, doa selepas solat fardu, sedekah dan pergi ke tanah suci berdoa perkara sama berbulan bulan.. namun masih tidak diperkenan. saya rasa diri sangat hina seperti tuhan bencikan saya dan saya jadi ragu2 seperti mahu saja ikut cara berdoa rakan2 saya dan pergi ke gereja. saya kecewa. harap dapat jawapan tentang persoalan ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, Islam adalah agama yang sebenar. Tiada agama di sisi Allah selain daripada Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Ali’Imran : 19) Kepercayaan terhadap agama dan terkabulnya doa adalah 2 perkara yang berbeza. Orang yang kaya dan berharta, orang yang bijak dan berkedudukan, orang yang berkuasa dan berpengaruh tidaklah menunjukkan bahawa kepercayaan mereka adalah benar. Hanya yang mengikuti jalan Islam dan apa yang diperintahkan oleh agama dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT. Islam memerintahkan umatnya berdoa kepada Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud : Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Ghafir : 60) Sebagai hambaNya, berdoalah kepada Allah SWT sepanjang masa. Allah suka kepada hambaNya yang sentiasa meminta, memohon kepadanya. Setiap doa pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Benar apa yang saudari telah lakukan seperti bermunajat di sepertiga malam, berdoa selepas solat fardhu dan berdoa di tanah suci. Yakinlah, Allah pasti akan memakbulkan doa saudari, lambat atau cepat doa kita dimakbulkan adalah urusan Allah SWT. Dia Maha Mengetahui bila waktunya yang sesuai doa kita akan diperkenankan. Jika tidak di dunia ini, Allah akan perkenankannya di akhirat dengan ganjaran yang besar. Teruslah beramal ibadat, berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Inilah yang perlu kita lakukan sebagai hambaNya. Jangan kecewa dan berputus asa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.