Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Seorang penceramah ada menyebut hadis, kira-kira seperti di bawah: 1. Berpuasa sunnat di hari rejab dengan kelebihan -kelebihan nya pada setiap hari. Yang mana yang terakhir, akan boleh memberi syafaat kepada ahli keluarga untuk masuk syurga. 2. Bersolat sunnat ada malam-malam tertentu padadi hari hari bulan rejab. Minta pencerahan dari tuan, status hadis tersebut. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Hadis yang menyebut sedemikian, kami tidak menjumpainya. Tiada kelebihan khusus dalam bulan Rejab selain dari kedudukannya sebagai salah satu dari bulan-bulan haram, bulan haram adalah bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (at-Taubah : 36) Hukum berpuasa pada bulan Rejab adalah sunat, sama seperti berpuasa sunat di bulan-bulan lain. Berpuasa sunat amat digalakkan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda katanya, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman” : ولا يزال عبدي تتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه Maksudnya : “Hamba-Ku sentiasa mendampingi diri-Ku dengan melakukan ibadat-ibadat sunat sehingga aku menjadi kasih kepadanya” (Riwayat al-Bukhari) 2. Dalam bulan Rejab, tiada solat sunat khusus pada malamnya. Begitu juga tiada larangan untuk melakukan solat-solat sunat di malam hari sebagaimana pada bulan-bulan lain. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (al-Israa’ : 79) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.