BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Saya mempunyai beberapa permasalahan dan memerlukan pandangan dari Datuk Mufti. Saya telah sampai di Mekah pada November 2018 untuk menunaikan umrah. Walaubagaimanapun saya kedatangan haid di KLIA semasa ingin berlepas. Semasa kapal terbang telah hampir di Miqat iaitu di Qarnul Manazil saya terus niat bersyarat untuk mengerjakan umrah. Walaubagaimanapun saya tidak menjaga pantang larang ihram pada awalnya kerana saya tidak tahu walaupun telah niat bersyarat kita perlu juga menjaga pantang larang dalam ihram. Contohnya saya menggunakan deodorant supaya badan tidak berbau. Saya memakai bedak dan gincu nipis supaya wajah tidak nampak kusam. Rambut gugur di atas katil lebih dari 3 helai tetapi saya tidak pasti semasa membuka serkup kepala rambut yang gugur lebih dari 3 atau tidak. Apabila saya merujuk kepada Mutawif sama ada perlukah saya menyembelih seekor kambing kerana telah melanggar pantang larang, beliau menyatakan tidak perlu kerana saya menggunakan bukan untuk berwangi-wangian. Mutawif tersebut mengesyorkan agar saya bersedekah 60 riyal untuk melegakan perasaan. Saya memberikan wang 60 riyal kepada pekerja pembersihan di masjid. Setelah itu, saya pergi ke tempat saie untuk melihat keadaan di sana. Ada bau yang harum di sana. Saya menyedut bau tersebut. Dalam hati saya berkata, “Oh begini baunya di tempat saie”. Kemudian baru saya teringat saya masih di dalam ihram. Saya mohon pertolongan Datuk Mufti, adakah saya masih di dalam ihram dan apakah yang perlu saya lakukan. Masalah saya yang kedua pula ialah baru-baru ini saya telah menghadiri kursus haji. Dalam kursus tersebut, penceramah mengajar bahawa niat untuk mengerjakan haji bermula dari 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah. Sekiranya kita berniat sebelum 1 Syawal, niat tersebut tidak sah dan akan menjadi umrah. Perasaan saya mula terganggu supaya melafazkan niat tersebut. Saya cuba sedaya upaya untuk melawannya dan saya berjaya. Walaubagaimanapun semasa solat asar, gangguan tersebut datang lagi. Saya melawan perasaan tersebut tetapi kerana sangat terganggu, saya terus berkata di dalam hati “Aku macam tu lah”. Sebenarnya saya tidak mahu berniat apa-apa pun. Bagaimana kedudukan saya Datuk Mufti. Perlukah saya ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan adakah saya wajib menjaga pantang larang ihram. Apakah yang perlu saya lakukan atas kesilapan saya ini. Harapan saya agar Datuk Mufti dapat menjelaskan masalah saya ini. Semoga saya dapat menjalani kehidupan yang tenang selepas ini. Amin.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Pemakaian deodorant memang bertujuan untuk berwangi-wangian yang dilarang. Ia berbeza dengan pemakaian bedak dan gincu yang diharuskan. Jika larangan itu dipakai sebelum berniat ia tidak melanggar larangan, bahkan disunatkan. Berhubung dengan rambut yang gugur tidak menjadi kesalahan kerana yang dilarang ialah mencabut atau memotongnya dengan sengaja walau hanya sehelai. 2. Niat bermaksud memutuskan sesuatu perbuatan (di dalam hati) yang diikuti dengan melaksanakannya “قصد الشيء مقترنا بفعله”. Berdasarkan apa yang puan alami, puan sebenarnya belum atau tidak berniat. Oleh itu tidak ada apa-apa tanggungan yang perlu puan lakukan. Walau bagaimanapun, apa yang puan alami adalah dari segi kefahaman. Oleh itu pelajarilah lagi kaifiat dan selok belok ibadah supaya tidak timbul ragu-ragu yang menjadi gangguan pemikiran yang boleh mengundang masalah (penyakit ragu-ragu). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 377

message user image