Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t Tuan/Puan, Saya ingin mengajukan persoalan berkaitan pekerjaan saya sekarang dan memohon untuk penjelasan dan cadangan daripada pihak JAIS mengenai situasi saya seperti di bawah: Sekarang saya berkerja di sebuah syarikat pengeluar minyak biodiesel. Kebiasaannya proses penghasilan biodiesel ini adalah daripada minyak mentah kelapa sawit yang telah tertapis. Atas permintaan dan keperluan pasaran sekarang untuk mengurangkan sisa buangan minyak masak terpakai, syarikat saya ingin membeli minyak masak terpakai (Used Cooking Oil, UCO) daripada pelbagai pembekal yang mendapatkannya daripada pelbagai tempat seperti restoran makanan dan lain-lain lagi yang agak sukar untuk jejak sumber asalnya. UCO ini kemudian akan diproses oleh kilang syarikat saya bekerja menghasilkan biodiesel kemudian boleh dicampurkan dengan diesel dan digunakan untuk kenderaan berenjin diesel. Permasalahan bermula di mana UCO yang dibeli ini mungkin bercampur daripada pelbagai sumber termasuk sumber yang tidak Halal (Minyak masak yang bercampur dengan Porcine DNA). Syarikat kami juga berkemungkinan akan mengimport minyak masak terpakai dari pelbagai Negara seperti China,Vietnam dan sebagainya. Soalan saya seperti berikut, 1)Adakah hasil pendapatan atau gaji saya daripada penjualan Biodiesel daripada UCO ini tidak Halal juga? 2) Syarikat ada menyediakan PPE untuk saya mengendalikan UCO ini. Sekiranya tidak sengaja terkena kepada kulit dan pakaian, apa yang perlu saya lakukan dan bagaimanakah caranya? 3) Selain daripada pemakaian PPE untuk mengelakan saya sentuhan secara terus, apakah lagi perkara yang saya perlu titik beratkan dan risaukan dalam mengendalikan minyak terpakai yang bercampur dengan Porcine DNA ini? Di harap pihak tuan dapat menjawab persoalan dan memberi maklus balas segera kepada saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bekerja dengan syarikat pemprosesan minyak biodiesel bercampur dengan minyak masakan yang digunakan untuk memasak makanan tidak halal adalah tidak dilarang. Secara umumnya percampuran antara bahan-bahan yang suci dan najis akan memberi kesan yang besar terhadap status kesucian campuran bahan tersebut, berdasarkan kaedah fiqhiyyah: إذا اجتَمَعَ الحلالُ والحرام غُلِّبَ الحرامُ Maksudnya : “Apabila bercampur antara halal dan haram, haram akan menguasai kesemuanya”. Kaedah fiqhiyyah yang ditetapkan oleh para ulamak di atas memberi gambaran yang jelas bahawa apa-apa bahan yang bercampur antara yang halal dan haram maka seluruh campuran tersebut akan menjadi haram. 1. Adakah hasil saya tidak halal Hasil pekerjaan anda adalah harus kerana secara umum anda mengurus bahan yang bercampur antara sisa makanan halal, makanan yang tidak halal dan juga sisa makanan yang tidak diketahui statusnya. 2. Syarikat menyediakan PPE tetapi jika terkena pakaian apa yang harus dilakukan? Memandangakan bahan yang diurus itu merupakan bahan yang bercampur antara sisa makanan yang halal dan tidak halal maka anda perlulah membersihkan pakaian tersebut sehingga hilang bau, warna dan rasa bahan tersebut sebelum menunaikan solat. Perlu dipastikan juga tubuh badan dan tempat solat bebas serta suci dari bahan-bahan tersebut. 3. Apa lagi perkara yang perlu dititikberatkan Sebaiknya pihak syarikat memastikan dengan jelas setiap bahan yang diproses agar memudahkan pengendalian dari sudut hukum hakam dan meletakkan perkerja bukan muslim dibahagian yang mengurus bahan yang tidak halal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.