Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam Tuan, saya ingin bertanya, apa hukumnya seorang suami bermalam di rumah bekas isteri atas alasan ingin berjumpa anak2 (berumur 13-20 tahun) ketika bekas isterinya jg berada di rumah yg sama? Bagaimana pula jika bekas isteri tiada di rumah tersebut, hanya anak2?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk persoalan saudara, sekiranya isteri masih lagi dalam tempoh iddah, harus hukumnya seorang suami bermalam di rumah bekas isterinya apabila anak-anak turut berada di dalam rumah tersebut. Apabila telah tamat tempoh iddah dan bekas isteri tinggal di rumahnya bersama anak-anaknya harus bagi suami memasuki rumah tersebut dengan tujuan untuk menziarahi anak dan bertemu. Walaubagaimanapun apabila bekas isteri tidak membenarkannya masuk ke dalam rumah, maka haram bagi bekas suami untuk masuk ke dalam rumah apatah lagi untuk bermalam di rumah tersebut kerana beliau telah dianggap sebagai orang asing. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat.” (an-Nur : 27) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.