Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam ustaz/ustazah.saya telah beli peti ais dari wang haram 100% hasil riba dan peras ugut orang.saya telah solat taubat dan sudah 2 tahun tidak melakukan riba dan pemerasan. Saya insaf dan ingin bertaubat.apa yang saya perlu lakukan dengan harta haram ini. 1)buang peti ais tersebut?. 2)guna peti ais ini dan sedekah wang kepada fakir miskin dengan nilai yang sama dengan harga peti ais tersebut?. 3)beri kepada fakir miskin? Bantu saya..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, adalah dicadangkan agar peti ais itu dinilaikan sahaja dan serahkan duit kepada Baitumal yang berhampiran. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.