Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya nak tanya berkenaan bacaan alfatihah. Saya tak tahu kenapa tapi saya sukar untuk membaca alfatihah dengan lancar tapi jika baca dengan suara angin tanpa suara yang jelas bacaanya lancar. Tapi ia menjadi masalah ketika nak solat kerana setahu saya untuk solat kita kena dengar bacaan kita sendiri. Jadi saya nak tanya tentang apa yang boleh saya buat? Kesukaran saya untuk membaca alfatihah pada ayat ke 3 'malikiyaumiddin' setiap kali nak ke 'middin' itu lidah saya jadi licin dan akan bunyi seperti 'middddin'. Saya ulang baca alfatihah sampai solat jadi hampir setengah jam dan saya merasa susah untuk solat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bacaan al-Fatihah tersebut hendaklah dibaca dengan yakin dan lancar sehingga selesai tanpa melayan perasaan was-was, kerana was-was ia adalah permainan syaitan. Beberapa catatan ulama’ telah mengesyorkan untuk menghilangkan penyakit was-was ini antaranya; 1. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. 2. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan was-was. Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan. 3. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini. 4. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan was-was kepada manusia. Perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha mengekangnya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Fussilat : 36) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.