Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Apakah hukumnya bagi seseorang yang beragama Islam bekerja dan menerima pendapatan daripada syarikat yang menjalankan perniagaan perhotelan, taman tema, kasino dan hiburan walaupun pekerja tersebut hanya bekerja di bahagian sokongan dan tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti perniagaan tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, hasil pendapatan bekerja di syarikat yang turut menjalankan perniagaan seperti judi adalah syubhah. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Berdasarkan kepada ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawa sebarang urusan yang ada kaitannya dengan arak dan judi adalah dilarang dan mestilah dijauhi, sekalipun saudari tidak terlibat secara langsung, tetapi telah diketahui bahawa syarikat tersebut turut berurusniaga pada perkara yang haram. Membantu perbuatan dosa adalah berdosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya : ...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Walaupun bekerja sebagai kakitangan sokongan yang tidak terlibat secara langsung dengan perniagaan tersebut, tetapi pendapatan yang diperolehi adalah hasil daripada sumber perniagaan tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. (Riwayat al-Bukhari)
Sekian, terima kasih.