Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya, bagaimanakah menyucikan najis pada bilik air yang sedikit bertakung (air lambat turun)? Adakah lantai bilik air tersebut masih dikategorikan sebagai bernajis walaupun sudah disiram berkali-kali dan ain najis telah hilang? Kadang kala kami masuk ke bilik air tanpa memakai selipar dan keluar begitu sahaja. Apakah status lantai bilik air tersebut? Adakah telah suci ataupun sebaliknya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika ain najis telah hilang, maka tidaklah dikategorikan sebagai bernajis. Tambahan pula ia telah disiram berkali-kali dengan air mutlak. Dengan syarat air tersebut terus mengalir dan tidak bertakung. Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ Syarh Muhazzab menyatakan yang bermaksud: “Penulis kitab al-Tatimmah dan fuqaha yang lainnya mengatakan bahawa air mempunyai kekuatan sifat menyuci ketika dicurahkan ke atas benda yang terkena najis, maka tidak menjadi najis dengan akibat percampuran tersebut, bahkan air itu kekal suci. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.