Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum.saya ingin bertanya tentang sedekah pahala baca al quran kepada si mati.sebelum ni seseorang pernah katakan kepada saya bahawa orang yg tidak lancar baca al quran tidak elok sedeqahkan pahala baca al qurannya kepada keluarganya yg telah meninggal dunia.hal ini kerana si mati akan merasa sakit nanti.adalah benar perkara ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, perkara tersebut adalah tidak benar. Bacaan al-Quran yang dibaca dan pahalanya disedekahkan kepada si mati tetap akan sampai kepadanya. Bacaan yang tidak lancar, tidak bererti salah bacaannya. Dan ia tidak menyebabkan si mati merasa sakit, kerana itu adalah diluar pengetahuan manusia untuk memikirkannya. Apatah lagi orang yang berkata sedemikian. Urusan akhirat adalah urusan Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya. Sedangkan orang yang baca merangkak-rangkak pun dapat pahala sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أجْرَانِ Maksudnya : “Yang membaca al-Qur`an dan dia mahir membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia. Sedangkan yang membaca al-Qur`an namun dia tidak tepat dalam membacanya dan mengalami kesulitan, maka baginya dua pahala.” (Riwayat Al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.