Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam ustaz, saya ingin bertanya berkenaan dengan kolah untuk ambil air wuduk dan mandi wajib (menyelam). Saya ingin mengetahui berapa saiz kolah yang membolehkan sah untuk kita mandi wajib & berwuduk? Saya ingin mengetahui saiz lebar, tinggi dan panjang dalam CM & kaki? Mohon pencerahan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, saiz dan ukuran yang hendak digunakan di dalam bersuci mestilah air mutlak yang melebihi dua kolah. Ukuran dua kolah itu adalah 230 liter isipadu air. Manakala ukuran tinggi, panjang dan lebar adalah yang bersesuaian dengan isipadu air tersebut. Adapun saiz kolah hanyalah sebahagian daripada proses bersuci, tetapi bagi memastikan proses itu sah, perlu dipastikan segala rukun dan syaratnya dipatuhi. Apa yang penting, air yang digunakan untuk bersuci adalah air mutlak, iaitu air yang boleh menyucikan. Jika seseorang mandi wajib dengan menyelam sekalipun dalam kolam atau takungan air yang tidak mengalir dan mengandungi najis di dalamnya, maka tidak sah, begitu juga dengan wuduknya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : لا يغتسل أحدكم فى الماء الدائم أي الراكد وهو جنب فقالوا : يا أبا هريرة كيف يفعل؟ قال : يتناوله تناولا Maksudnya : “Janganlah seseorang daripada kamu mandi dalam air tenang dan tidak mengalir, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya : Wahai Abu Hurairah! Bagaimanakah sepatutnya dia lakukan?. Jawab Abu Hurairah : Cedok dan mandilah dengan air itu”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.