Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan berkenaan hukum. Apakah hukum jika saya bekerja dalam bidang arkitek di sebuah syarikat yang mengambil projek-projek yang jelas terdapat unsur haramnya seperti projek membina kelab malam, projek membina restoran/bar yang menjual arak, membina projek pusat penyembahan agama lain, projek membina kilang penyembelihan bukan cara islam dan sebagainya? Bagaimanakah hukum dari segi pendapatan saya? Apakah yang saya perlu lakukan jika projek itu diserahkan tugas kepada saya untuk mengetuainya atau saya terlibat dengannya? Saya harap dapat mendengar penjelasan berkenaan isu ini dan dapat mendengar pendapat ustaz untuk memudahkan urusan ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika tidak diketahui tujuannya, maka harus. Jika berkaitan dengan bangunan untuk jualan arak maka haram. Sebaliknya puan buatlah pilihan untuk tidak terlibat dengan projek yang dilarang oleh syarak agar mendapat rezeki yang berkah. Usaha bertukar syarikat lain kerana termasuk dalam syubhah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (al-Maaidah : 2) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.