Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam, saya nak tanya berkenaan dengan satu syarikat dari kilang heineken iaitu kilang arak telah memberi sumbangan duit bernilai RM160 utk membeli brg makanan semasa covid bolehkah kita orang islam menerima sumbangan tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh Syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah haram digunakan. Jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah. Perkara penting untuk kita fahami dalam urusan muamalat ialah kita perlu jelas tentang harta atau barang yang kita terima atas dasar apa. Seandainya seseorang itu menerima wang atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan kegiatan haram, maka harta tersebut halal baginya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نفْسٍ إِلَّا عَلَيهَا. وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya. Dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain” (al-An’am : 164) Kaedah Fiqhiyyah ada menyebutkan: تبَدُّلُ سَبَبِ المِلْكِ قَائِمٌ مَقَامَ تبَدُّلِ الذَّاتِ Maksudnya: “Perpindahan yang disebabkan oleh pemilikan akan mengakibatkan perubahan pada zat (benda)” Menurut kaedah asal, perubahan hukum berlaku disebabkan oleh perubahan pemilikan iaitu telah berpindah hak milik sekalipun zatnya tidak berubah. Contohnya dalam kes jamuan Barirah bekas hamba ‘Aisyah RA yang menghidangkan daging kepada Rasulullah SAW. Apabila daging itu dihidangkan, Baginda SAW diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab: Bermaksud : “Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari) Maksudnya, daging itu diberi kepada Barirah sebagai sedekah, kemudian Barirah memberikan kepada Rasulullah SAW sebagai hadiah. Jika daging tersebut kekal statusnya sebagai sedekah maka haram Baginda S.A.W menerimanya. Apabila Baginda SAW menerimanya, ini menunjukkan telah berlaku perubahan status daging tersebut daripada sedekah kepada hadiah pada zat (benda) yang sama dengan perbezaan sebab pemilikan. Kesimpulannya, seseorang yang mendapatkan harta daripada sumber yang haram seperti penjualan arak adalah diharamkan menggunakan harta tersebut sebaliknya wajib membayar kepada Baitul Mal atau menginfaqkan kepada orang lain. Orang yang menerima harta yang haram atau syubhah melalu akad jual beli yang sah, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia sendiri tidak terlibat dengan urusan kegiatan haram tersebut, maka mereka halal menerimanya dan tidak perlu mengembalikannya dengan syarat tidak terlibat dalam mempromosikan aktiviti haram seperti riba, perjudian dan arak kerana hal tersebut menunjukkan sikap redha kepada maksiat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.