Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Bapa saya sudah 4 bulan sakit disebabkan kencing manis. Satu jari sudah dipotong. Sekarang berada dirumah untuk tunggu sampai luka di kaki baik sahaja. Dia juga tidak boleh berjalan disebabkan luka tersebut. Sejak sakit ini dia cepat marah tetapi dengan orang lain seperti biasa. Setiap hari sepanjang malam tidak tidur. Saya adik-beradik akan bergilir menjaga dia pada waktu malam sebab dia asyik memanggil. Memang orang yang menjaga tidak akan boleh tidur. Boleh dikatakan setiap 10 minit dia akan panggil orang. Setiap malam dia akan menjerit panggil mak saya untuk layan dia. Mak saya baru tidur dalam sejam dua jam dia sudah panggil-panggil. Sepanjang hari mak saya dah jaga dia, kadang-kadang makan pun tak sempat, sampai mak saya turun 10 kg, jadi waktu malam, kami nak mak kami rehat. Disebabkan ini dan ditambah dengan mengantuk, saya memang akan tinggi suara. Mula-mula saya sabar. Tapi sekarang sebab lama dah menjaga dia, dengan setiap hari perkara yang sama berlaku, ditambah dengan kata-kata dia, yang suka mendoakan keburukan kepada kami, saya mula dah tak sabar. Sampai terlintas di otak saya, saya nak keluar dari rumah, sebab stress sangat-sangat. Saya nak bertanya apakah saya berdosa sebab meninggikan suara dalam keadaan ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tanggung jawab seorang anak terhadap ibu bapanya adalah sentiasa berbuat baik dan menjaga kebajikan mereka. Menjaga dan mengurus seorang bapa yang sedang sakit merupakan tuntutan agama dan menjadi kewajipan seorang anak untuk terus berbakti kepadanya selama mana mereka masih hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Isra’ : 23) Menjaga dan melayani keperluan ibu bapa yang sedang sakit dan uzur bukanlah suatu perkara mudah, kerana banyak ujian dan dugaan yang harus ditempuh sepanjang menguruskan keperluan dan kehendaknya termasuk berhadapan dengan pelbagai kerenahnya. Banyakkan bersabar dan didiklah hati supaya terus diberi kekuatan dan kecekalan dalam memberi khidmat bakti yang terbaik kepadanya. Mudah-mudahan ia menjadi amalan terbaik yang diberi sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT. Elakkan daripada tinggikan suara, “قَوْلًا كَرِيمًا” (katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.