Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, adakah batal wudhu saya sekiranya saya kentut tanpa bau dan bunyi tetapi dalam keadaan perut yang sakit dan sedar bahawa ada angin yang keluar dari dubur? (Mohon emelkan semula jawapan kepada saya). Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, wuduk tetap batal walaupun kentut tersebut tidak berbau atau bunyi, kerana saudari sendiri yakin dan sedar bahawa ada angin yang keluar dari dubur. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لا فَلا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا Maksudnya : “Jika seseorang diantara kamu mendapati ada sesuatu di dalam perutnya, sama ada akan keluar sesuatu dari perutnya atau tidak, maka janganlah keluar dari masjid sehingga ia mendengar bunyi atau keluarnya angin” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.