Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum.. adik saya meninggal dunia tahun 2016.Duit kwsp dan insuran di buat firaid.dan bayaran hutang mengunakan duit firaid tersebut.Waris2 ( adik beradik ) yg menerima duit faraid bersetuju menyerahkan duit kpd emak. pada Nov 2019.emak telah meninggal. Soalan: 1) Boleh ke waris (adik beradik ) menuntut hutang dahulu yg arwah adik ada berhutang denganya setelah 4 tahun kematian arwah. 2) Adakah duit emak akan dikira sebagai harta pusaka dan akan dibuat pembahagian faraid.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Sebelum pembahagian faraid dilakukan, waris si mati hendaklah melangsaikan hutang-hutang arwah menggunakan duit peninggalannya, termasuklah hutang sesama adik-beradik. Kemudian bakinya, barulah boleh difaraidkan. Oleh kerana semua adik-beradik bersetuju menyerahkan duit faraid yang diterima kepada emak, maka selesailah urusan tersebut. Dan faraid adik-beradik yang diserah kepada emak menjadi hakmilik emak. Jika ada adik-beradik yang masih mendakwa arwah adik berhutang dengannya, hendaklah dikemukakan bukti yang menyokong dakwaannya, kerana persetujuan telah dibuat 4 tahun lalu. 2. Segala harta milik arwah emak yang ditinggalkan dikira sebagai harta pusaka yang perlu difaraidkan. Sebelum faraid dilakukan, hendaklah diselesaikan hutangnya, kos pengurusan jenazahnya, badal haji (jika mampu dan belum menunaikan haji semasa hidup), fidyah dan wasiat (hanya 1/3 jika ada) yang diselesaikan menggunakan harta pusaka emak. Jika berbaki, barulah boleh difaraidkan harta pusaka tersebut kepada waris. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.