Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin mengajukan satu soalan berkenaan hutang lapuk. Pada satu masa sebelum ini, saya pernah menjadi orang tengah untuk satu urusan jual beli yang melibatkan ramai individu, lebih kurang 20 hingga 30 orang termasuk saya sendiri. Malangnya, saya telah ditipu dalam urusan tersebut. Jumlah bayaran setiap individu adalah RM25 pada masa itu. Perkara ini telah berlalu hampir 15 tahun lamanya. Saya juga tidak ada senarai pembeli yang turut menjadi mangsa untuk memohon maaf kerana saya berpindah tidak lama selepas itu. Namun, saya masih merasa terganggu dengan perkara itu. Apa yang perlu saya lakukan? Perlukah saya menanggung dan menyelesaikan hutang kepada semua pembeli tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, puan wajib menyelesaikan hutang kepada individu tersebut, status hutang tetap hutang kerana puan menjadi orang tengah dalam urusniaga itu. Dicadangkan agar berusaha mencari mereka yang terlibat menggunakan media sosial dan sebagainya sedaya upaya. Jika tidak ditemui, wang tersebut hendaklah diserahkan ke Baitulmal sebagai wang yang tidak ditemui pemiliknya. Tetapi jika terjumpa semula dengan individu berkenaan, puan hendaklah mengembalikan semula duitnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.