BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Waktu di ting 2, saya telah belajar pendidikan Islam tentang perkara-perkara yang telah membatalkan akidah..Ustazah sangat menitikberatkan supaya hati-hati tentang perkara yang membatalkan akidah melalui hati iaitu berniat keluar dari agama. Saya selalu terfikir- fikir dan berkata-kata dalam hati, saya tidak akan sekali- kali berniat..Namun, pada satu ketika, sedang saya menonton cerita Korea, saya katakan pada diri saya "Aku nak sama Agama dia kalau dia Islam". Kemudian, saya terfikir, kalau dia bukan orang Islam? Hati saya pun berkata keluar Dari agama lah..Hati saya pada waktu itu terus terasa sesak dan saya terus tutup tv dan menangis..Saya terus amik wuduk kemudian, saya nangis2 baca Quran dan sangat risau jika amalan saya tidak diterima lagi..Peristiwa ini, sudah berlaku selama Lima belas tahun..Sekarang saya teringat peristiwa itu, saya katakan pada diri saya bahawa saya tidak berniat, kemudian saya beristighfar, namun dalam saya beristighfar itu dalam hati saya ada berkata sebenarnya memang berniat pon..saya teruskan kata, tidak, saya tidak berniat..Allah itu Agung..Setiap kali saya nak solat, saya akan mengucap 2 kalimah syahadah dan saya memohon kepada Allah, jika aku ada berniat ataupun mengatakan perkara yang boleh membatalkan akidah, maafkan aku..saya berusaha untuk tidak memikirkan perkara ini, namun akan berasa bersalah, mungkinkah aku sudah terbatal akidah? Namun, bila saya memikirkannya, perkara- perkara yang boleh membatalkan iman pula yang muncul sambil saya beristighfar. Saya selalu rasa takut sangat jika itu sudah dikira sebagai niat..Sampai saya tidur je dan tidak mampu buat kerja lain..Saya tetap solat walaupun lewat, dan saya akan cepat-cepat habiskan solat, takut terfikir perkara yang bukan- bukan ketika solat.. Adakah saya sudah tergelincir dari Iman?Adakah saya mempermainkan Agama?Bolehkah saya berkahwin dengan lelaki yang soleh? Saya harap saya dapat jawapan sebab saya benar-benar tidak tenang


message user image

Jawapan  

Merujuk persoalan saudari, perlu diketahui bahawa asal dalam perkara aqidah adalah wajib beriman secara muktamad. Dalam beraqidah tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syak, waham dan zan. Syak boleh dikatakan keraguan yang bersifat pertengahan antara percaya dan tidak percaya. Waham pula langsung tidak mencapai tahap separuh kepercayaan manakala zan pula adalah kepercayaan yang hampir-hampir mencapai tahap yakin tetapi masih tidak sepenuhnya muktamad. Kesemua bentuk keraguan ini tidak diterima dalam soal keimanan dan ia boleh merosakkan aqidah seseorang. Walau bagaimanapun, hati seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan syaitan yang mungkin bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan. Dalam hal ini, jika waswas itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)". (Riwayat al-Bukhari) Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. Dalam situasi yang dihadapi oleh saudari, iaitu terdetik di dalam hati untuk keluar daripada Islam, maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau ia hanya lintasan hati yang tidak disengajakan serta tidak mempunyai keazaman yang bersungguh-sungguh untuk keluar daripada Islam. Firman Allah SWT: وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab : 5) Walau bagaimanapun, saudari dinasihatkan agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW: جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.” (Riwayat Ahmad) Akhirnya, dikongsikan di sini beberapa tips penting dalam mengatasi waswas dalam aqidah. Pertama: Bertenang dan tidak menggelabah. Ini kerana kebimbangan dan kekhuatiran kita terhadap perasaan waswas yang timbul menunjukkan kita masih memiliki iman yang mantap. Kedua: Memperkukuhkan iman dengan mengulang syahadah. Ketiga: Memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada gangguan syaitan dan iblis yang menghasut, sekurang-kurangnya dalam mengucapkan ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Keempat: Segera berhenti daripada berfikir-fikir tentang perkara yang diwaswaskan itu sebaliknya menyibukkan diri dengan beramal soleh. Kelima: Melakukan amalan zikir dan doa agar sentiasa ditetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan. Antaranya doa Rasulullah SAW: (اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ) Maksudnya: "Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu". Semoga Allah memberi ketenangan kepada saudari, terus istiqamah dengan ibadah dan dimudahkan segala urusan serta dijauhi daripada lintasan-lintasan hati. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 507

message user image