Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah yang saya perlu lakukan sekiranya selama ini saya salah cara mandi wajib? Selama ini saya berniat tapi niat itu saya lakukan apabila saya sudah buka paip air dan sebelum saya membasuh kepala. Sedangkan apa yang saya dengar baru ini sebenarnya niat itu perlu dilakukan sebaik sahaja air terkena anggota badan yang pertama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berniat ketika membuka paip untuk mandi wajib juga sudah diambilkira, kerana sudah mula membasuh tangan. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى ِ Maksudnya: “Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.