Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bolehkah rungutan isteri dijadikan sebagai jawapan untuk sembahyang istikhorah? Saya dinaikkkan pangkat tetapi saya juga akan berpencen pilihan sendiri. Ramai yang menasihat saya tangguhkan pencen untuk tujuan pengesahan kenaikkan pangkat. Anak-anak saya tidak menentang untuk saya tangguhkan pencen saya, kecuali isteri saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jika Allah SWT melapangkan dada, ketenangan hati dan dipermudahkan urusan seharian untuk melakukan sesuatu pilihan itu selepas mengerjakan solat tersebut, maka lakukanlah, dan jika sebaliknya, maka janganlah melakukannya. Begitu juga dengan situasi tuan berkenaan rungutan isteri. Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari RA katanya : Maksudnya : “Rasulullah SAW menganjurkan kami supaya bersolat Istikharah dalam semua hal sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah al-Quran. Sabdanya : Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu dia hendaklah bersolat sunat sebanyak dua rakaat, kemudian berdoalah : Ya Allah! Aku memohon daripada Mu pilihan yang terbaik dengan ilmu Mu, memohon ketentuan Mu dengan kudrat Mu, dan memohon kurniaan Mu yang agung. Engkaulah yang Maha Mengetahui sedang aku tidak tahu dan Engkaulah yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah! Jika pada pengetahuan Mu perkara ini baik bagiku dari segi agama, kehidupanku dan akibatnya maka kurniakanlah kepadaku, permudahkanlah ia untukku, dan berkatkanlah ia bagiku. Ya Allah! Jika perkara ini tidak baik untukku dari segi agama, kehidupanku dan akibatnya, maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarilah aku daripadanya, takdirkanlah kebaikan bagiku seadanya, seterusnya redhailah aku dengan takdir itu. Sabdanya lagi : Kemudian hendaklah dia menyebutkan hajatnya”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.