Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum warah matullahiwabarakatuh. Disini saya ada beberapa kemusykilan untuk di ajukan pada pihak tuan. 1-) Selepas sahaja melafazkan taklik (kali ke 2) kepada isterinya di hadapan kadhi dipejabat agama, lelaki tersebut pulang ke rumah bersama isteri yang diceraikan td dan melakukan persetubuhan dengan kerelaan hati masing-masing tanpa ada paksaan. Walaupun begitu, ada terdetik di hati lelaki tersebut untuk rujuk semula kepada bekas isterinya yang diceraikan td. Selepas itu pasangan tersebut tinggal berasingan kerana menganggap mereka telah pn bercerai. Setelah hampir setahun berpisah dengan bekas suaminya, maka perempuan tersebut lalu berkahwin dengan orang lain. Persoalan saya disini adalah apakah status perkahwinanya dengan suaminya yang pertama td? Adakah dikira suaminya telah rujuk dan apakah perkahwinan mereka masih sah. Yang kedua persoalan saya, jika parkahwinan yang pertama masih sah, apakah status perkahwinan yang kedua perempuan tersebut, dan apakah status anak dari hasil perkahwinanya yang kedua itu. Sekian persoalan saya, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Dalam mazhab Shafi’i melakukan persetubuhan dalam tempoh iddah adalah haram. Suami juga diharamkan berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’ie sebelum dirujuk. Jika suami ingin merujuk kembali isteri, mestilah dengan lafaz rujuk, bukannya dengan melakukan persetubuhan. Firman Allah SWT ; وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ Maksudnya : “Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah (kebaikan)”. (al-Baqarah : 228) 2. Jika tiada lafaz rujuk dari suami pertamanya semasa dalam tempoh iddah dan tidak didaftarkan di Pejabat Agama, maka tidaklah berlaku rujuk. Selepas tamat iddah mereka bukan lagi pasangan suami isteri. Justeru, perkahwinan keduanya adalah sah dan anak mereka adalah sah taraf. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.