Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum ustaz, nak tanya kalau kita masukkan modal rm 300(contoh) dalam pelaburan forex dan kita mendapat untung mencecah rm 800(contoh) adakah kita boleh ambil rm 300(modal) dari pulangan rm 800 dan lebihannya iaitu rm 500 kita sedekahkan dan tak guna langsung duit tu sebab baru tahu hukum main forex adalah haram.Soalan utamanya adalah bolehkah kita mengambil balik duit rm 300(modal) daripada rm 800( untung forex).Mohon pencerahan.Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, boleh mengambil balik duit modal RM300 tersebut, dan selebihnya hendaklah diserahkan ke Baitulmal kerana ia merupakan wang yang tidak patuh syariah setelah saudara mengetahui tentang hukumnya. Ia tidak boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri. Firman Allah SWT : وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ Maksudnya : “Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa” (al-Baqarah : 279) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.