Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz: 1. Apakah itu zihar. Adakah ianya hanya untuk suami yang menzihar isteri sahaja. Bagaimana dengan isteri yang menzihar suami. 2.Apakah berbezaan hukum adik-adik yang a. sama ibu lain bapa b. sama bapa lain ibu. Hukum dari segi mahram dan faraid
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
1. Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرَ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرَمِن َامْرَأتِهِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أنْتِ كَظَهْرِ أ مِي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.” Dari segi istilah syarak pula, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya dengan wanita yang mahram muabbad (selamanya) kepadanya. Maka dengan itu, zihar tidak jatuh apabila dilafazkan oleh isteri kerana salah satu rukun zihar adalah lafaz daripada suami. 2. Bagi adik-beradik seibu (ibu sama bapa lain) dan adik-beradik sebapa (bapa sama ibu lain), dari sudut mahramnya adalah sebagaimana adik beradik kandung yang mana mereka tidak wajib menutup aurat dan jika bersentuhan tanpa lapik, tidak akan membatalkan wudhu’. Mereka juga diharamkan berkahwin antara satu sama lain. Manakala dari sudut faraid, secara asasnya adalah seperti berikut: 1. Adik-beradik seibu hanya mendapat harta pusaka ibu tetapi tidak bagi harta pusaka daripada bapa tiri. Mereka juga berhak mendapat harta jika si mati adalah adik beradik seibu. 2. Adik-beradik sebapa pula adalah sebaliknya di mana hanya boleh menerima harta pusaka bapa dan tidak boleh menerima harta pusaka daripada ibu tiri. Mereka juga hanya berhak mendapat harta pusaka jika si mati adalah adik beradik sebapa. Pewarisan harta pusaka adalah berdasarkan 3 sebab iaitu nasab (pertalian darah), perkahwinan dan al-wala’ (penghambaan). Adik beradik seibu dan adik beradik sebapa hanya boleh mewarisi harta daripada mereka yang mempunyai hubungan pertalian darah dengan mereka sahaja. Bagi perincian yang lebih, khususnya berkenaan kadar bahagian harta faraid untuk adik beradik seibu dan adik beradik sebapa, tuan boleh terus menghubungi Bahagian Pengurusan Harta Pusaka, Majlis Agama Islam Selangor di talian: 03-5514 3772. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.