Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ayah saya baru meninggal dunia. Meninggalkan 4 orang anak (2 lelaki, 2 perempuan) serta seorang isteri (ibu tiri saya). Sewaktu hayat Arwah saya pernah membeli sebiji kereta dan sebiji motor untuk Arwah Ayah gunakan selama mana yang beliau mahu. Kedua-duanya adalah secara tunai dan didaftarkan di atas nama saya sendiri. Soalan: 1. Adakah motor dan kereta tersebut kini menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan kepada kami adik beradik dan ibu tiri mengikut perkiraan faraid? 1. Adakah ibu tiri berhak menuntut motor dan kereta tersebut sebagai harta sepencarian kerana ianya saya berikan kepada Arwah Ayah sewaktu ibu tiri telah menjadi isteri Arwah Ayah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Berkenaan motor dan kereta tersebut, ia berbalik kepada niat puan semasa memberikannya kepada ayah sama ada beri terus sebagai hibah atau beri pinjam untuk kegunaannya semasa hayat kerana tidak berlaku pertukaran nama pada kedua-dua kenderaan tersebut selepas pembelian. Dari segi perundangan, ia masih lagi milik puan sebagai penama, justeru tidak boleh dijadikan sebagai harta pusaka arwah ayah untuk difaraidkan. Jika hibah, maka jadi harta pusaka. 2. Selagi kenderaan tersebut tidak bertukar nama kepada nama ayah, maka ia tidak menjadi milik ayah untuk dipusakai dalam faraid. Justeru, ibu tiri dan waris yang lain tidak juga tidak boleh mempusakainya. Ia juga bukanlah harta sepencarian yang boleh dituntut oleh ibu tiri kerana ia bukan harta milik bersama ibu tiri dan arwah ayah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.